Bila manusia mula buka cerita tentang PTPTN maka mulalah ada yang cuba nak lawan menuding jari pada sistem pendidikan negara. Katanya kalau dimansuhkan PTPTN, diberi pendidikan percuma sehingga ke peringkat tertiari (baca:IPT), maka mungkin bakal graduan akan bebas dari hutang piutang yang menghambat mereka tatkala mulanya tika setelah segulung ijazah berjaya diperoleh. Dan hutang ini kandungannya dari beribu-ribu ringgit hingga sampai beratus-ratus ribu nilainya, menjadikan jumlah terkumpul lebih dari berpuluh-puluh billion. Ya, berpuluh-puluh billion. Ketepikan hal yang perlukan anda menyelam imaginasi terpencil di mana melibatkan wang yang angka sifarnya lebih dari 6, mari fokus kepada perkara lebih individual, kepada mahasiswa khususnya.
Bayangkan setelah graduasi maka hutang yang perlu dibayarnya begitu berlambak. Itupun dikenakan faedah, maka hutang jadi berganda, beban makin berganda, sakit kepala menimpa, stres cari kerja, bayar ganti segala perbelanjaan tika remaja sampai satu tahap mungkin hingga ke cucu cicit tidak selesainya. Itu belum lagi cerita yang lari sana sini bersembunyi. Maka itulah yang cuba diperjuangkan oleh sekumpulan homo sapien di Dataran Merdeka sambil berkhemah memegang sepanduk seakan-akan pengakap menjalani jambori di tengah hutan batu. Tapi persoalannya, dengan menjadikan pendidikan percuma kepada rakyat jelata, adakah nilai dan kualiti pendidikan, atau lebih tepat konteksnya, graduan yang bakal lahir dari konsep baru ini, akan meningkat seperti yang diharapkan oleh ibu bapa keluarga dan bakal majikan?
Ada suara-suara yang bertitah kata bahawasanya jika pendidikan diberikan secara percuma maka manusia akan mengambil kesempatan ini untuk mengambil mudah prasarana yang disediakan, dan mungkin bakal menjejaskan kualiti pendidikan negara. Mungkin kisah pendidikan percuma itu perlu diperincikan lagi, kerana dengan berseloroh secara awam sebegitu bakal menimbulkan pelbagai tanda tanya seperti bagaimana konsep itu bakal dilaksanakan? atas dasar apa konsep itu perlu ditegakkan? adakah ini bermakna IPT terpaksa membuka lebih banyak lagi ruang untuk menerima pelajar setelah pelaksanaan dasar ini?
Tapi apa pun kata mereka, bagi penulis, dasar pendidikan percuma ini hanyalah mengurangkan beban kewangan para pelajar dan keluarga mereka saja. Beban ini dipindahkan kepada kerajaan yang terpaksa menanggung bayar yuran akademik yang rata-ratanya (mengikut piawaian IPT yang penulis pernah alami) dalam 4 angka hingga 5 angka jumlahnya. Itu untuk seorang mahasiswa. Jika tiap-tiap tahun negara ini menghasilkan 50 ribu orang graduan, maka jumlahnya mencapai tahap billion ringgit tiap-tiap tahun. Jikalau hendak harapkan ikhsan atau dari keuntungan GLC maka agak sukar untuk kerajaan menanggung perbelanjaan sebanyak itu tiap-tiap tahun. Maka hutang kerajaan tiap-tiap tahun makin bertambah, dan mungkin boleh membawa kepada keruntuhan ekonomi. Itu cuma congakan penulis, tapi tidak mustahil untuk perkara sebegini berlaku.
Jadi atas dasar apakah sebenarnya yang patut diubah?